04 December 2011

“Warkah buat bakal imamku…”





Bismillahirrahmanirrahim…


Dengan ucapan lafaz agungNya yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang…


Semoga warkah yang terlayang ini diniat dan disandarkan kepada redhaNya cuma. Tuhan, semoga isi warkah ini tidak lari dari isi ucapan yang ingin Engkau sampaikan jua kepadanya…



Akhi,

Setelah memeterai janji, tanpa sedar setahun telah berlalu. Janji memberi sebuah jawapan yang pasti kepada akhi. Jawapan yang insya allah telah ku pinta dan pohon kepadaNya dalam tahajudku dengan sungguh-sungguh hati.


Sesungguhnya, dalam tempoh setahun ini telah banyak kali sudah ku beristikharah, bermula dari awal risikan akhi kepadaku sehinggalah ke akhir ku ingin mengambil keputusan ini. Suatu kata putus yang cukup besar untuk ku putuskan dalam hidup. Kerana soal jodoh bukan soal main-main. Soal untukku pilih imam yang dapat memegang tanganku hingga ke syurga Tuhan.



Risikan demi risikan datang. Dan ku tidak mampu menjawab pertanyaan demi pertanyaan beberapa orang muslimin yang mendambakan sebuah jawapan. Benarlah, membuat pilihan tentang jodoh bukan suatu pilihan yang senang. Dan ku tiada kekuatan dan tidak berhak sebenarnya untuk memilih. Kerana pilihan itu bukan dalam tanganku, tetapi dalam tanganNya, yang tersimpan juga dalam redha ibubapa.



Akhi,

Siapalah diriku jika dibandingkan dengan perempuan yang lain. Jika inginkan rupa jelita, jangan pandang diriku kerana ku tidak memilikinya. Jika inginkan kekayaan, jangan pilih diriku, kerana ku tidak punya apa-apa harta. Jika ingin yang bijaksana, ramai lagi yang jauh berintelek dan bijak pandai di luar sana. Sungguh,, diriku tidak punyai apa-apa. Yang ada, cuma satu. Cuma agamaNya yang ku pegang kemas-kemas di dada. Cuma itu.



Akhi,

Tidak usah menunggu lagi…

Kerana, ku tidak mahu akhi menunggu lagi. Sekarang telah tiba masanya untukku memberitahu jawapannya. Sememangnya ku rasa bersalah kerana telah membuatkan akhi tertunggu-tunggu setahun lamanya dalam menantikan sebuah jawapan yang pasti. Maaf jika ku telah membuatkan akhi menderita rasa di jiwa. Bukan niatku untuk menyeksa, tetapi itulah yang ku pinta. Cuma inginkan redhaNya dalam keputusanNya. Dalam keputusan yang DIA putuskan untuk kita.



Bismillah…

Bersaksi dengan namaNya, risikanmu ku terima. Bersama dengan persetujuan kedua ibubapa tercinta. Ku menerimamu seadanya, selayaknya yang ALLAH pilih untukku. Dan terimalah daku seadanya, yang selayaknya ALLAH tetapkan untukmu. Keputusan ini lahir tulus dari sanubari hati, keyakinan disandarkan kepada yang Maha Esa, semoga bernaung pula di bawah redha Maha Pencipta cinta.



Akhi,

Oleh itu ku pinta, jagalah hatimu dan imanmu. Sama-sama kita mujahadah melawan godaan hawa nafsu. Sungguh, dengan keterikatan hubungan suci ini syaitan tidak akan jemu-jemu untuk menggoda, hanya imanlah benteng dan perisai dalam menghadapinya.



Jika ingatanmu kepadaku datang bertamu, tepislah ia dengan dikembalikan ingatan itu kepadaNya. Berzikir dan bertahmidlah sehingga ingatan itu hilang. Jika rindu mengusik kalbu, sapulah ia dengan membaca al-Quran sehingga jiwamu menjadi lunak dengan alunan ayatNya. Kembalikan semua rasa rindu, kasih dan cinta itu hanya untuk ALLAH yang satu. Jangan sesekali bahagikan ia padaku kerana ku masih tidak sah untukmu. Sentiasalah mencintai DIA yang Maha Satu.



Jika kau ditimpa musibah dan merasa gelisah, adukanlah dalam sujud kepada ALLAH, tidak perlu diluahkan kepadaku kerana ku tidak mampu menolong apa-apa tetapi hanya ALLAH yang mampu menyelesaikan segalanya. Jika kau merasa gembira, tidak perlu dikongsi kegembiraan itu kepadaku tetapi kongsilah ia dengan sujud syukur kepada Pemberi nikmat itu. Apa jua keadaan yang dirasa sepanjang tempoh penantian ini, selagi mana kita belum sah menjadi suami isteri, selagi itu kita harus terus bermujahadah menjaga segalanya. Hatiku dan hatimu, serahkan segala rasa itu kepada Pemilik yang selayaknya, ALLAH yang Maha Esa.



Akhi,

Dalam menantikan saat kita diijab kabulkan nanti, tolong persiapkan dirimu dengan sebaik mungkin. Dan ku juga sama. Sama-sama kita persiapkan diri menjadi sebaik-baik hambaNya. Dan pesan terpenting dariku akhi, jagalah ketulusan hatimu. Janganlah melakukan suatu amal atau perubahan semata-mata kerana ingin menikahiku. Sebaliknya, sucikanlah niat itu semata-mata untuk ALLAH sahaja. Apa-apa jua kejayaan dan impian yang engkau ingin gapai, usah persembahkan untukku, tetapi sentiasa pastikan ia kerana redha Tuhanmu. Suka untukku ingatkan dengan sepotong hadis yang masyhur ini. Semoga kita sama-sama sentiasa memegangnya.



Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya setiap amal itu adalah dengan niat, dan sesungguhnya untuk setiap orang itu apa yang diniatkan olehnya, barang siapa yang hijrahnya kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya akan menuju kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang hijrahnya untuk dunia atas kesenangannya, atau perempuan untuk menikahinya, maka hijrahnya akan menuju kepada apa yang ditujunya  (dunia dan perempuan tadi)”


Akhir kalam…


Akhi,

Jagalah iman dengan sebaik-baik jagaan, perkuatkan ia dengan taqarrub kepada Tuhan. Sama-sama kita berpasrah dan berserah segalanya untuk masa depan, semoga DIA menetapkan yang terbaik buat kita. Buat diriku dan dirimu yang cuma inginkan kasih itu dalam kasihNya agar DIA menjadi redha kepada ikatan suci ini berakhir dengan cinta suci hanya keranaNYA…


Sekian dariku, wassalam…








pls: “Sekadar sebuah cerita yang bercerita dalam bentuk warkah cinta, sebagai muhasabah diri bagi mereka yang akan bertunang, sudah bertunang dan akan menempuh gerbang perkahwinan. Jagalah hubungan dengan ALLAH, pasti DIA akan menjaga kita. Jagalah batas-batas hubungan itu sepertimana yang telah Islam tetapkan. Jauhkan dari segala perkara yang boleh mengundang maksiat dan dosa, semoga mahligai yang akan dibina penuh dengan keberkatan dan keredhaanNya… Wallahua’lam”



Credit ucapan istimewa beloved untuk: Ukhti Nur Hidayah Kamsaini yang akan bernikah cuti sekolah ini. Semoga rumahtangga yang akan dibina kekal bahagia hingga ke syurga. Barakallahulakuma! :)


~Cuma ingin redhaMu~

: Hikmatul Islam
: 05122011
: isnin
: 1222 pm


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...