Showing posts with label kahwin. Show all posts
Showing posts with label kahwin. Show all posts

07 December 2011

CERPEN: “MEMILIKI CINTA”










Seusai kami solat Asar berjemaah, Nasuha mendekatiku. Rapat, kemudian diletakkan tanggannya di atas tanganku lalu digenggam.

“Akak….,boleh Su tanyakan sesuatu.?” Nasuha bertanyakan lambat-lambat.

Ya Su, nak tanya pasal apa yer?”

Ku lihat dahinya berkerut, mungkin sedang memikirkan sesuatu atau sedang menyusun ayat untuk bertanyakan soalan yang sekian lama disimpan di benak fikirannya. Nampak wajahnya sedikit resah.

Melihatkan dirinya terdiam seketika, lantas ku ukirkan sebuah senyuman yang cukup manis agar dia merasa lega dan mampu meluahkan segala yang terbuku di hatinya itu.

Akak…”

Kalamnya terhenti sejenak, kemudian dia menyambung.

“Sebenarnya Su malu untuk meluahkan perasaan yang Su rasa nie…juga tidak tahu bagaimana ingin mentafsirkan perasaan ini?”

“Erm…sebenarnya Su merasa sedikit cemburu dengan teman-teman serumah kita. Mereka semua telah berpunya. Tapi Su?”

Ku tatap matanya, nampak sedikit sebak.

“Apakah Su tidak layak untuk mempunyai teman seperti mereka? Su akui Su tidak cantik, tiada rupa jelita seperti Ina, tidak pandai seperti akak, tidak reti untuk bercakap macam Anis dan tiada apapun kelebihan kalau nak dibandingkan dengan semua orang…”

Ku masih lagi diam, tidak mencelah walau sedikit pun. Membiarkan Nasuha meluahkan segala-galanya yang dia rasa.

“Kawan Su cakap, kalau tak cari teman masa nie, pasti kelak Su akan susah untuk jumpa pasangan hidup. Su juga cemburu kerana mereka disayangi dan pasangan mereka begitu mengambil berat telefon tiap-tiap hari bertanyakan khabar. Lihatah Sarah dah bertunang, Kak Husna pula akan berkahwin tidak lama lagi. Betapa bahagianya mereka…”

Sekali lagi ku amati dan tatap dalam-dalam wajahnya. Cuba menilai sebatang tubuh di hadapanku. Ya, dia tidak mempunyai rupa paras yang jelita. Berkulit hitam manis dan sedikit tembam. Tidak pula berhidung mancung seperti teman-teman serumah yang lain.

Namun, dia istimewa sebenarnya. Bagi yang melihat dengan mata hati, bukan melihat dengan mata zahir. Bagi yang menilai dengan iman, pasti akan dapat melihat sinar cahaya di wajahnya.

Nasuha yang berada di hadapanku ini sangat baik orangnya. Lemah lembut dan berbudi bahasa. Dia tidak cerewet dan sikapnya sangat mesra dengan semua orang. Jarang sekali dia naik suara seperti teman serumah yang lain, Nasuha tidak mudah tension dan keluar perkataan yang tidak elok bila berbicara. Dia sangat tenang dan suka pula tersenyum.

Paling ku sukai tentang dirinya, dia rajin solat berjemaah. Meskipun tidak seperti lelaki yang perlu ke masjid untuk solat jemaah, namun Nasuha suka sekali mengajak kami semua solat berjemaah di rumah, di ruang tamu rumah sewa kami yang kecil itu. Jika azan berbunyi, dialah yang paling awal bergegas ke bilik air lalu berwuduk untuk solat di awal waktu.

Apabila satu pertiga malam menjelang, dia tidak segan-segan untuk bangun bertahajud dan bersujud di hadapanNya. Lidahnya sentiasa basah dengan zikrullah dan Al-quran tidak pernah lepas di tangannya. Dibawa ke mana sahaja kitab suci yang tersimpan rapi di dalam begnya untuk ditadabbur pada waktu yang terluang.

Subhanallah.! Dia sebenarnya sangat cantik, cantik akhlak dan peribadinya namun kebanyakan lelaki tidak menyedari tentang itu. Benarlah, kebanyakan sang lelaki melihat rupa yang pertama. Walaupun berkali-kali tazkirah dan ceramah yang disampaikan oleh ustaz mahupun syeikh seringkali mengingatkan tentang hadis Nabi saw bahawa agama yang paling utama dalam pemilihan calon isteri, namun wajah dan rupa juga yang menjadi ukuran terlebih dahulu. Kebanyakan lelaki, tetapi tidak semuanya begitu.

Melihatkan Nasuha tidak lagi ingin meneruskan kalamnya dan seperti menunggu pula sebuah jawapan dariku, lalu ku ukirkan kembali senyuman kepadanya sebelum ku memulakan bicara untuk memberikan sebuah jawapan yang terbaik daripada persoalannya itu.

“Nasuha…”

Ku cuba mengaturkan kalam dan bahasa yang paling lembut dan berhikmah. Ingin menyampaikan dakwah sepertimana sifat Baginda saw yang begitu lemah lembut dalam berbicara sehingga menarik hati musuh untuk memeluk Islam. Semuanya perlu berhikmah.

Melihat aku yang masih terdiam, Nasuha menyambung lagi.

“Su bimbang tiada orang yang sudi menerima Su…”

“Nasuha sayang!”

Cepat-cepat aku memotong percakapannya itu. Kali ini, biarlah aku pula yang akan menjelaskannya.

“Akak nak tanya sesuatu, boleh?”

“Kenapa abah Su pilih mak Su dulu?

Dia lantas menjawab,“Erm, abah pilih sebab mak mengaji agama kat pondok.”

“Jadi, abah tidak pilih mak kerana rupa kan? Kalau abah Su nak pilih mak sebab rupa, pastilah dia tidak perlu susah-susah cari calon kat pondok, padahal kat kampung Su sudah tentu ada ramai lagi anak dara yang lain, yang cantik-cantik. Tapi, abah tidak lihat pada rupa semata-mata kan? Tapi, sebab dia melihat pada akhlak dan peribadi mak Su yang sangat cantik sebab itulah dia tertawan.”

Dia mengangguk-angguk. Cuba membenarkan kata-kataku itu.

Ku menyambung lagi.

“Su, jika mak Su pun dilamar orang dan berkahwin jua akhirnya dengan abah Su, maka Su juga insya allah akan temui jodoh suatu hari seperti mak Su. Yakinlah dengan Allah. Yakinlah dengan janji-janjiNya. Tidak perlu kita merasa susah hati dan resah menanti jodoh. Ia ada, telah tersedia tertulis di Luh Mahfuz. Kecuali jodoh itu tidak akan sampai jika kita mati terlebih dahulu menghadapNya.”

“Nasuha sayang, mengertilah. Mereka yang bercouple tu belum tentu akan sampai jodoh di singgahsana. Jika dapat berkahwin pun, ia dibina atas dasar maksiat, jauh dari keberkatan dan keredhaan Allah. Tidak perlu kita merasa cemburu dengan mereka yang disayangi oleh makhluk tetapi kita perlu merasa cemburu dan sedih andai Pencipta makhluk tidak lagi sayang kepada kita lantaran dosa maksiat yang kita lakukan.”

“Allah itu Maha Penyayang. Kita harus merasa bersyukur kerana Allah memilih kita dalam jagaanNya. Tidak membiarkan kita hanyut dan asyik dalam dunia cinta palsu. Inilah bukti Allah sayang kepada kita. Dia juga Maha adil. Kenapa diciptakan kita dengan rupa yang sederhana, tidak cantik jelita seperti yang lain?

Kerana Dia tidak mahu kita lalai dan tenggelam dengan kecantikan yang palsu itu, bimbang kita menyalahkan gunakan kecantikan itu untuk menarik dan meruntuhkan iman lelaki hingga sang lelaki tewas dalam hawa nasfu dan godaan sang wanita”


Nasuha mendengar dengan penuh khusyuk.


“Mungkin sekarang mereka yang berpunya itu terlihat bahagia dan gembira dengan pasangan masing-masing tetapi apakah mereka melihat akibat dan kesannya selepas berumahtangga kelak? Belum tentu mereka dapat sebahagia seperti sekarang kerana telah merasai kebahagiaan sementara itu dengan jalinan ikatan yang tidak sah, yang tidak Allah halalkan buat mereka. Selepas kahwin nanti, Allah akan timpakan bermacam-macam ujian dan dugaan yang hebat sebagai balasan di atas dosa dan maksiat yang mereka lakukan sebelum bernikah.


“Cuba Su tengok dalam berita, terlalu ramai yang berkahwin awal kemudian bercerai-berai dan mereka curang sesama sendiri. Di mana keberkatan dalam rumahtangga tersebut? Sudah hilang dimakan oleh dosa noda yang tangan-tangan mereka sendiri lakukan sebenarnya.”


Aku menarik nafas. Rasa macam sudah panjang tazkirah nie. Bimbang Nasuha jadi semakin pening pula jika terlalu panjang. Lalu ku ingin simpulkan dengan simpulan yang mudah agar dia memahami maksud sebenar yang ku ingin sampaikan padanya.


“Nasuha…yakinlah dengan Allah. Bukan yakin dengan kata-kata akak tetapi yakinlah dengan janji-janjiNya. Perempuan yang baik disediakan untuk lelaki yang baik, begitu juga sebaliknya. Sesungguhnya jodoh Nasuha sudah ada dan sudah tersedia, cuma sekarang dia tak nampak di mata kerana Allah masih menyembunyikannya.”


“Allah sembunyikan?” Dia bertanya dengan suara perlahan.


“Ya. Sekarang Allah sembunyikannya. Bila sampai saat dan waktunya nanti, dia akan datang, memperlihatkan dirinya pada Su dan melamar Su dengan penuh salam penghormatan kerana terlalu hormatkan maruah dan peribadi yang Su miliki. Kerana mengagumi ketinggian agama yang Su pegangi.”


“Sementara menunggu cinta suci itu datang dan memilikinya suatu hari nanti, sekarang Su perlu lebih mempersiapkan diri. Harumkan akhlak dan peribadi. Dekatilah Ilahi, pasti kita tidak akan rugi. Jadilah hambaNya yang terbaik meskipun pangkat solehah itu sangat sukar untuk diperoleh.


Tetapi kita haruslah sentiasa mencuba berusaha mengubah diri kea rah lebih baik. Sesungguhnya sang soleh sentiasa akan mengintai-intai sang solehah untuk dijadikan bidadari dalam hidupnya untuk dibawa pula terbang abadi hingga syurgaNya…”

Ku lihat Nasuha kembali tersenyum. Makin melebar pula senyumannya bila mendengar ayat terakhir yang keluar dari mulutku. Aku juga turut tersenyum dan bersyukur kerana dia sudah jelas kesemuanya.

Allah…macam skrip yang sudah ditaip-taip pula tatkala ku mengeluarkan setiap patah kata, padahal ku sendiri tidak pernah terlintas untuk berucap seperti itu sebenarnya. DIA lah Tuhan yang Maha Agung yang telah memberikan daku idea dan ilham itu untuk dititipkan pesanan tersebut pada insan ini.

Nasuha menggenggam erat tanganku lalu dicium.

“Terima kasih kak.! Terima kasih sebab dah buat Su sedar akan hakikat semua nie.”

“Insya allah, kita sama-sama doakan ye akan memiliki cinta itu. Cinta abadi dan hakiki berpaksikan redha Ilahi. Amin…”

“Amin ya Rabb.” Dia turut menyambut doaku itu.

Dan ku yakini, malaikat yang bersama-sama dengan kami pada petang itu juga turut sama mengaminkan doa tersebut…



“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami dari isteri kami dan keturunan kami menjadi penenang hati kami dan jadikan kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.” (Al-Furqan:74)



Sekian, tamat.


p/s: “Duhai muslimah yang dikasihi ALLAH…tidak perlu gusar dan mengeluh andai dirimu masih belum dilamar. Teruslah ‘mensolehahkan’dirimu, teruslah bermujahadah menjadi hambaNya yang terbaik, yakinilah dengan janji-janji Tuhan, jangan pernah berhenti berdoa dan berharap kepadaNya. Yakinilah, suatu hari kelak kamu kan memperoleh imam yang terbaik buatmu, sebaik dan seindah akhlakmu jua.!” :’)



~Cuma ingin redhaMu Tuhan~
: Hikmatul Islam
: 07122011
: 0500 pm

04 December 2011

“Warkah buat bakal imamku…”





Bismillahirrahmanirrahim…


Dengan ucapan lafaz agungNya yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang…


Semoga warkah yang terlayang ini diniat dan disandarkan kepada redhaNya cuma. Tuhan, semoga isi warkah ini tidak lari dari isi ucapan yang ingin Engkau sampaikan jua kepadanya…



Akhi,

Setelah memeterai janji, tanpa sedar setahun telah berlalu. Janji memberi sebuah jawapan yang pasti kepada akhi. Jawapan yang insya allah telah ku pinta dan pohon kepadaNya dalam tahajudku dengan sungguh-sungguh hati.


Sesungguhnya, dalam tempoh setahun ini telah banyak kali sudah ku beristikharah, bermula dari awal risikan akhi kepadaku sehinggalah ke akhir ku ingin mengambil keputusan ini. Suatu kata putus yang cukup besar untuk ku putuskan dalam hidup. Kerana soal jodoh bukan soal main-main. Soal untukku pilih imam yang dapat memegang tanganku hingga ke syurga Tuhan.



Risikan demi risikan datang. Dan ku tidak mampu menjawab pertanyaan demi pertanyaan beberapa orang muslimin yang mendambakan sebuah jawapan. Benarlah, membuat pilihan tentang jodoh bukan suatu pilihan yang senang. Dan ku tiada kekuatan dan tidak berhak sebenarnya untuk memilih. Kerana pilihan itu bukan dalam tanganku, tetapi dalam tanganNya, yang tersimpan juga dalam redha ibubapa.



Akhi,

Siapalah diriku jika dibandingkan dengan perempuan yang lain. Jika inginkan rupa jelita, jangan pandang diriku kerana ku tidak memilikinya. Jika inginkan kekayaan, jangan pilih diriku, kerana ku tidak punya apa-apa harta. Jika ingin yang bijaksana, ramai lagi yang jauh berintelek dan bijak pandai di luar sana. Sungguh,, diriku tidak punyai apa-apa. Yang ada, cuma satu. Cuma agamaNya yang ku pegang kemas-kemas di dada. Cuma itu.



Akhi,

Tidak usah menunggu lagi…

Kerana, ku tidak mahu akhi menunggu lagi. Sekarang telah tiba masanya untukku memberitahu jawapannya. Sememangnya ku rasa bersalah kerana telah membuatkan akhi tertunggu-tunggu setahun lamanya dalam menantikan sebuah jawapan yang pasti. Maaf jika ku telah membuatkan akhi menderita rasa di jiwa. Bukan niatku untuk menyeksa, tetapi itulah yang ku pinta. Cuma inginkan redhaNya dalam keputusanNya. Dalam keputusan yang DIA putuskan untuk kita.



Bismillah…

Bersaksi dengan namaNya, risikanmu ku terima. Bersama dengan persetujuan kedua ibubapa tercinta. Ku menerimamu seadanya, selayaknya yang ALLAH pilih untukku. Dan terimalah daku seadanya, yang selayaknya ALLAH tetapkan untukmu. Keputusan ini lahir tulus dari sanubari hati, keyakinan disandarkan kepada yang Maha Esa, semoga bernaung pula di bawah redha Maha Pencipta cinta.



Akhi,

Oleh itu ku pinta, jagalah hatimu dan imanmu. Sama-sama kita mujahadah melawan godaan hawa nafsu. Sungguh, dengan keterikatan hubungan suci ini syaitan tidak akan jemu-jemu untuk menggoda, hanya imanlah benteng dan perisai dalam menghadapinya.



Jika ingatanmu kepadaku datang bertamu, tepislah ia dengan dikembalikan ingatan itu kepadaNya. Berzikir dan bertahmidlah sehingga ingatan itu hilang. Jika rindu mengusik kalbu, sapulah ia dengan membaca al-Quran sehingga jiwamu menjadi lunak dengan alunan ayatNya. Kembalikan semua rasa rindu, kasih dan cinta itu hanya untuk ALLAH yang satu. Jangan sesekali bahagikan ia padaku kerana ku masih tidak sah untukmu. Sentiasalah mencintai DIA yang Maha Satu.



Jika kau ditimpa musibah dan merasa gelisah, adukanlah dalam sujud kepada ALLAH, tidak perlu diluahkan kepadaku kerana ku tidak mampu menolong apa-apa tetapi hanya ALLAH yang mampu menyelesaikan segalanya. Jika kau merasa gembira, tidak perlu dikongsi kegembiraan itu kepadaku tetapi kongsilah ia dengan sujud syukur kepada Pemberi nikmat itu. Apa jua keadaan yang dirasa sepanjang tempoh penantian ini, selagi mana kita belum sah menjadi suami isteri, selagi itu kita harus terus bermujahadah menjaga segalanya. Hatiku dan hatimu, serahkan segala rasa itu kepada Pemilik yang selayaknya, ALLAH yang Maha Esa.



Akhi,

Dalam menantikan saat kita diijab kabulkan nanti, tolong persiapkan dirimu dengan sebaik mungkin. Dan ku juga sama. Sama-sama kita persiapkan diri menjadi sebaik-baik hambaNya. Dan pesan terpenting dariku akhi, jagalah ketulusan hatimu. Janganlah melakukan suatu amal atau perubahan semata-mata kerana ingin menikahiku. Sebaliknya, sucikanlah niat itu semata-mata untuk ALLAH sahaja. Apa-apa jua kejayaan dan impian yang engkau ingin gapai, usah persembahkan untukku, tetapi sentiasa pastikan ia kerana redha Tuhanmu. Suka untukku ingatkan dengan sepotong hadis yang masyhur ini. Semoga kita sama-sama sentiasa memegangnya.



Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya setiap amal itu adalah dengan niat, dan sesungguhnya untuk setiap orang itu apa yang diniatkan olehnya, barang siapa yang hijrahnya kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya akan menuju kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang hijrahnya untuk dunia atas kesenangannya, atau perempuan untuk menikahinya, maka hijrahnya akan menuju kepada apa yang ditujunya  (dunia dan perempuan tadi)”


Akhir kalam…


Akhi,

Jagalah iman dengan sebaik-baik jagaan, perkuatkan ia dengan taqarrub kepada Tuhan. Sama-sama kita berpasrah dan berserah segalanya untuk masa depan, semoga DIA menetapkan yang terbaik buat kita. Buat diriku dan dirimu yang cuma inginkan kasih itu dalam kasihNya agar DIA menjadi redha kepada ikatan suci ini berakhir dengan cinta suci hanya keranaNYA…


Sekian dariku, wassalam…








pls: “Sekadar sebuah cerita yang bercerita dalam bentuk warkah cinta, sebagai muhasabah diri bagi mereka yang akan bertunang, sudah bertunang dan akan menempuh gerbang perkahwinan. Jagalah hubungan dengan ALLAH, pasti DIA akan menjaga kita. Jagalah batas-batas hubungan itu sepertimana yang telah Islam tetapkan. Jauhkan dari segala perkara yang boleh mengundang maksiat dan dosa, semoga mahligai yang akan dibina penuh dengan keberkatan dan keredhaanNya… Wallahua’lam”



Credit ucapan istimewa beloved untuk: Ukhti Nur Hidayah Kamsaini yang akan bernikah cuti sekolah ini. Semoga rumahtangga yang akan dibina kekal bahagia hingga ke syurga. Barakallahulakuma! :)


~Cuma ingin redhaMu~

: Hikmatul Islam
: 05122011
: isnin
: 1222 pm


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...