01 June 2013

Destinasi Cinta Yang Ku Cari




Bismillahirrahmanirrahim.


“Di dalam hati manusia, terdapat kekusutan yang tidak akan terlerai kecuali dengan menghadapkan diri kepada Allah SWT.

Di dalam hati manusia, terdapat kerisauan yang tidak akan hilang kecuali berkasih sayang dengan Allah SWT.

Di dalam hati manusia, terdapat kesedihan yang tidak akan sirna kecuali dengan mengenali Allah SWT dan menjalinkan hubungan denganNya.

Di dalam hati manusia, terdapat kegelisahan yang tidak dapat diredakan kecuali dengan reda segala perintah, larangan dan qada’ Allah serta bersabar ke atas perkara tersebut sehingga berjumpa denganNya.

Di dalam hati manusia, terdapat rongga yang tidak dapat ditutup kecuali dengan cinta kepada Allah SWT dan kembali kepadaNya, terus mengingatiNya serta ikhlas kepadaNya.”

 (Ibnu Qayyim Al-Jauziyah)


Tempoh uzlah dah tamat. Tempoh saya ‘mengasingkan’ diri seketika. 

Mengasingkan diri daripada hambatan dunia yang menyesakkan dada.

Diri berteleku, bermuhasabah panjang mencari kekuatan yang hilang.

Diri yang lemah dan longlai itu, tidak mahu terus melemah lagi.

Malu. Teramat malu  dengan Allah. Sedikit Cuma ujian yang diberikan, tetapi diri sudah lemah longlai sedemikian rupa?


“Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Namun, keduanya tetap memiliki kebaikan. Bersemangatlah atas hal-hal yang bermanfaat bagimu. Minta tolonglah pada Allah, jangan engkau lemah. 

Jika engkau tertimpa suatu musibah, maka janganlah engkau katakan: ‘Seandainya aku lakukan demikian dan demikian.’ Akan tetapi hendaklah kau katakan: ‘Ini sudah jadi takdir Allah. Setiap apa yang telah Dia kehendaki pasti terjadi.’ Kerana perkataan kalau (seandainya) dapat membuka pintu syaitan.” (HR. Muslim)


“Allahurabbi…Maafkanlah hambaMu ini…Berikan hamba kekuatan yang tiada tara menghadapi tiap ujianMu…Jadikan hamba mukmin yang kuat ya Rabb…”





Kerana itu, tika iman melemah, di saat itu jugalah kita harus bersegera mencari Allah. Bersegera mendekatkan diri kepada Allah.

Tunduk dan sujudlah berlama-lama. Sehingga hati yang gundah itu beransur pergi digantikan dengan jiwa yang tenang.

Lalu, dibelek dan ditaddabbur dengan sepenuh hati bait-bait kalam-Nya.


“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah, dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan (tenang dan sabar), dan ingatlah Allah Maha Mengetahui tiap-tiap sesuatu.” (At-Taghabun: 11)


Subhanallah… Baiknya Allah. Teramat baik kepada hambaNya. Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Masih sudi memimpin hati orang yang beriman untuk menjadi tenang dan sabar.

Bukankah itu sebesar-besar nikmat iman daripada-Nya?

Diri harus bangkit. Tidak akan sesekali berputus asa pada rahmat-Nya yang Maha Luas.

Belek kembali matlamat hidup. Tatap dalam-dalam apa sebenarnya matlamat hidup yang sekejap ini?

Mahu redha-Nya.

Jika mahu redha-Nya, harus redha terima semua ujian dan dugaan yang Allah berikan.


“Dan redhalah dengan apa yang telah Allah berikan oleh Allah kepadamu, maka kamu akan menjadi orang yang paling kaya.” (Hadis Sohih Riwayat Tarmizi)


Harus berlapang dada dan terus kuatkan iman kepadaNya.

Harus berani berhadapan dengan cabaran pada diri sendiri dan cabaran hidup yang tidak pernah terhenti.

Di sini cuma persinggahan.

Status diri yang ‘tetap’ untuk sebelum ini, esok dan selamanya adalah menjadi ‘Hamba Tuhan’.

Hamba yang kuat, tabah dan cekal. Itulah yang dipanggil orang yang beriman.

Dan untuk melangkah tahap takwa pula, harus ditanggung seribu satu mehnah dan tribulasi ujian Tuhan.

Walau apapun ujian yang singgah, tetap istiqamah menjalankan kewajipan dan amal soleh serta tanpa henti tetap meninggalkan segala larangan-Nya.

Bukan mudah untuk mendaki tangga takwa.

Kerana tangga itu sangat tajam dan licin.

Kerana tangga itulah yang akan menuju kepada syurga Tuhan.

Andai kata tangga takwa itu punyai 1000 anak tangga untuk sampai ke syurga Allah, agak-agak kita telah sampai mendaki tangga yang ke berapa?

Allah...Renung sendiri pada iman…


Ali Bin Abi Talib berkata:

“Sesungguhnya, akhirat telah ada di hadapan mata sementara dunia sudah ada di belakang. Hendaklah kamu menjadi anak-anak akhirat, bukan anak-anak dunia. Kerana hari ini adalah waktunya beramal dan tidak ada hisab. Sementara esok (akhirat) adalah waktunya dihisab dan tidak ada lagi tempat untuk beramal.”



(Sebuah buku yang sangat mengispirasikan diri. Termotivasi.)


Jangan berhenti berlari.

Ya, jangan pernah berhenti. Meski lelah, meski rebah, bangun semula dan teruskan larian itu.

Hidup ini terlalu singkat waktunya untuk kita berhenti dari larian itu.

Kerana mereka yang beriman terus sahaja berlari tanpa henti mengejar redhaNya, syurgaNya, terus beramal tanpa jemu, tanpa rasa ragu kerana menyakini akan janji Ilahi yang Maha Benar.

Kenapa harus berhenti?

Sedangkan diri belum sampai ke destinasi. Destinasi cinta yang selama ini diri mencari-cari, rupanya telah makin hampir.

Cuma sahaja, apakah diri mahu terus berlari dan istiqamah untuk sampai ke destinasi cinta Allah atau terhenti?

Tidak, tidak akan sesekali terhenti.

“Ya Allah, tuntuni langkah kaki ini dengan cahayaMu. Pakaikan untukku pakaian ubudiyyah kepadaMu dan teruslah tarbiyahkan diriku dengan tarbiyahMu, sehingga kaki ini kembali kepadaMu dalam keadaan Engkau redha kepadaku…”


Mahu miliki hati yang lebih lembut dan jiwa yang lebih lunak.

Semuanya harus digapai dengan jalan bermujahadah. Bukan semudah-mudah.

Bermujahadah itu perit, ibarat menelan ubat yang sangat pahit rasanya. 

Akan tetapi, setelah sekian lama, ia akan menyembuhkan segala rasa di jiwa.

Tidakkah kesembuhan dan kemanisan iman itu menjadi perkara yang sangat indah setelah diri gigih bermujahadah?

Melawan segala desakan emosi dan hawa nafsu yang sering menjerit mengajak kepada kebatilan dan kekufuran.

Sedangkan bisikan dan ilham dari Tuhan yang disampaikan oleh malaikat itu lebih ingin diri kita kembali kepada keikhlasan kepadaNya untuk mendapat al-fallah (kejayaan) dunia dan akhirat.


"Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar." [an-Nisa’ 4:13].


Akhir kalam si pencoret tinta yang amat doif ini, ingin ku seru dirimu dan diriku…


“Kalian, kita tidak sempurna. Dan tidak akan pernah sempurna. Kerana dosa itu akan sentiasa menghambat kita. Kerana berdosa, adalah sifat kita sebagai hamba. Tetapi, teruslah berusaha untuk keluar dari ruang zulumat (kegelapan) itu.

Allah tidak pernah menutup pintu kasih sayangNya. Sentiasa sudi memberi, bagi yang ingin ‘mengetuk’ pintu rahmat-Nya. Allah menilai semua usaha. Tiada yang sia-sia. Malah, DIA teramat kasih bagi mereka yang tidak pernah berputus asa terhadap rahmatNya yang Maha Luas.

Mari, terus membina impian, lakarkan impian hidup yang terindah, kerana kita juga ingin kembali kepadaNya dengan yang terindah.!”




“…Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami kebaikan di dunia ini dan kebaikan di akhirat kelak dan hindarkanlah kami dari azab api neraka.”(QS. Al-Baqarah: 201)



Untuk semua kesedihan, pergilah.
Untuk semua kegundahan, berusirlah.
Untuk kenangan pahit, tinggallah menjadi kenangan.
Kerana nikmat Allah tidak pernah berhenti menyapa.
Cuma sahaja, diri yang selalu lupa mensyukuriNya.

Iman,
Ku bisikkan doa di hujung malam.
Kuatlah. Ampuhlah.
Kerana denganmu ku terus bertahan.
Bersinarlah seterang bintang,
Agar hidup dalam jiwa yang tenteram.

Allah.
Tetaplah daku di sisiMu selalu.
Dalam sendu dalam rindu.
Ku ingin senantiasa setia padaMu,
Hingga hujung nafasku…




: hikmatul islam
: 010613
: 1230 pm

25 May 2013

~Segala Yang Terahsia~




Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah. Selesai sudah pengajian ijazahku.

Menuntut ilmu Usuluddin selama 3 tahun di bumi Insaniah, Allah mengajariku banyak ilmu dan tarbiyahNya tidak pernah lengang menemani.

Termenung sendiri.

Mencari makna di balik semua ‘pentarbiyahan’ ujian yang DIA beri.

Sungguh, untuk mentafsirkan sesuatu hal yang bernama ‘hikmah’, ianya sangat sulit.

Sangat halus, dan sangat sukar untuk dimengertikan dengan kalam.

Bahasa tubuh tidak akan pernah sama dengan bahasa jiwa.

Bahasa tubuh mungkin bisa menipu, bibir tersenyum pahit, tetapi hati jujur menangis pilu.





“Merenung sendiri.
Pada setiap kisah duka yang mengiringi.
Untuk semua hajat yang tidak kesampaian.
Untuk semua doa yang masih belum dimakbulkan.
Untuk semua rasa yang terpendam.
Untuk semua hal yang hilang.

Allah.                                                        
Terasa longlai langkah kaki.
Terasa berat untuk terus melangkah.
Terasa dunia ini sangat duka untukku.
Terasa dunia ini sangat sunyi untukku.
Terasa gelap seketika.

Lalu,
Terduduk bersimpuh di hadapanMu.
Sehingga jiwa hilang di sisi manusia.
Mungkin sahaja ia ‘terbang’ ke sana.
Terbang dengan segala khayalan dan keasyikan syurga.
Membuatkan diri tersenyum duka.

Melihat orang lain mengecapi bahagia,
Sesekali tertanya, adakah bahagia itu untukku?
Atau sahaja ia terus tersimpan dalam rahsiaMu?

Allah.
Bahagiaku ada dalam dakapanMu.
Dakaplah erat-erat hatiku,
Agar ku tidak pernah merasa kehilanganMu…”






Sekarang Allah berikan cuti yang panjang. Bagiku, ia bukan sekadar cuti. 

Tetapi cuti inilah yang akan ku gunakan sebaik mungkin untuk bermuhasabah diri.

Masa luang yang panjang inilah akanku sinarkan hati yang mungkin ada tersirna.

Mencari kekuatan dalam kelemahan.

Mencari kekuatan iman, dalam kedaifan perasaan.

Merenungi di balik semua kejadian, bukan dengan emosi semata yang dibisikkan oleh syaitan, tetapi biarlah bisikan ketenangan yang diilhamkan oleh Tuhan.


“Perjalanan mencari cinta Ilahi pastinya banyak ujian yang akan terus diuji, kerana pada ujian itulah bukti cinta sejati seorang hamba kepada 
Yang Maha Abadi”


Diri harus sentiasa ‘sedar’ akan kenyataan itu.

Ya, kenyataan yang seringkali ku pesankan pada diri.

Bila Allah tidak memberi apa yang kita mahukan, apakah ia tanda Allah benci?

Tidak sesekali duhai jiwa yang beriman pada Tuhan yang Maha Penyayang.

Malah, itulah ‘manifestasi’ dan ‘ungkapan’ kasih sayang Allah pada seseorang insan yang DIA sayang.

DIA senang untuk mendengar luahan jiwa yang sentiasa berkomunikasi denganNya.

DIA senang untuk sentiasa mendengar luahan syahdu dan air mata yang gugur dalam sujud kepadaNya.

DIA senang sekali kita seperti itu.

Kenapa?

Kerana tika itulah jiwa akan ‘dibersihkan’ dengan sinaran iman yang sangat bercahaya.

Kerana tika itulah para malaikat akan senantiasa memayungi insan itu dengan jutaan rahmat.

Dan yang paling agung, kerana tika itulah Allah akan memandang hamba itu dengan pandangan kasih sayang dan penuh keredhaan.

Tidakkah kita mahukan seperti itu?

Allahu Ya Rahman…






Sungguh, daku tidak mungkin sesekali dapat menipu diri sendiri dan kalian.

Betapa rasa hampa dan kecewa kerana di saat akhirnya diri ini tidak dapat jejakkan kaki ke tanah suci Mekah.

Sedih, sehingga mengalirkan air mata.

Kerana jiwa ini juga cuma jiwa insan biasa.

Yang jiwanya terkadang rapuh dan lemah.

Yang jiwanya terkadang buntuh pada air mata.

Kerana air mata yang seringkali menemani, tidak pernah sunyi.

Sehingga diri menjadi ‘pencinta air mata abadi’.

Biarlah air mata ini akan menjadi sumber kekuatan, teman yang menguatkan tika kejatuhan.

Kenapa tidak dapat ke sana?

Panjang cerita andai ingin dihuraikan susur galur ceritanya.

Biarlah jadi rahsia.

Allah masih belum izinkan.

Belum masaku. Belum masaku untuk diundang ke sana.

Malah, ku tidak ingin pergi jika Allah masih tidak ingin menerima kedatanganku.

Sedangkan ku ingin pergi dengan sepenuh hati dan jiwa yang Allah redhai.

Ya. Dalam keadaan DIA teramat senang dan redha menerima kedatanganku.

Itu yang ku damba. Itu yang ku inginkan.

Mungkin, cintaku padaNya belum cukup cinta.

Mungkin, cintaku pada Rasulullah saw belum cukup buktinya.

Mungkin sahaja, imanku yang banyak compang sana sini, yang masih perlu banyak dibaiki dan dibaiki.

Mungkin sahaja aku insan jutaan dosa.

Oh, duhai hati, bersabarlah…




“Hasbunallahu wa nikmal wakil”

(Cukuplah Allah untuk penolong kami dan Dia sebaik-baik pengurus yang terserah kepadaNya segala urusan kami)


Sehingga sahaja di sini.

Sehingga diri bertemu kembali segala kekuatan diri.

Doakanku, teramat hajat doa tulus kalian.

Wassalam wbr.




“Allahurabbi Yang Maha Agung.

Siapa hamba tanpaMu Tuhanku?
Siapalah hamba pada pandanganMu?
Siapalah hamba untuk mentafsirkan semua aturanMu?

Sungguh,

Hamba ingin berjalan mengikut takdirMu yang Maha Halus.
TakdiranMu yang Maha Hebat susunannya daripada susunanku.
Kerana Engkau Maha tahu apa yang terbaik untuk tiap hambaMu.

Untuk setiap hamba,
yang beriman dan berpegang padaMu.

Mana mungkin untuk Engkau mensia-siakan sebegitu sahaja?
Tanpa Engkau mengira semua usaha dan air mata.
Kerana Engkau lagi Maha Teliti dalam pengiraanMu.
Tidak akan pernah sesekali Engkau tersalah dalam aturanMu.




Allahurabbi Ya Karim.

UntukMU segala kemuliaan, segala kekuasaan, segala kesempurnaan.
Untukku segala kehinaan, segala kelemahan, segala kekurangan.
Kerana rahmatMu daku hidup,
Kerana rahmatMu daku pulang kepadaMu.
Maka ku kembalikan segalanya padaMu.

Yang Maha Mengetahui apa yang tersembunyi.
Yang Maha memegang segala khazanah kerahsiaan.
Jika ia tetap rahsia,
Maka rahsiakan ia dari pandanganku.
Jika rahsia itu lebih baik untukku.

Jika ia bisa disingkap, maka singkapkan untukku.
Di satu masa kelak.
Agar semakin bertambah keyakinanku pada janjiMu.
Agar semakin bertambah kecintaanku padaMu.
Agar Engkau sentiasa meredhai kehidupanku…”


:hikmatul islam
:25 Mei 2013
:bersamaan 15 Rejab 1435H

:0120pm


13 May 2013

*mimpi yang tersimpan*




Untuk semua semua mimpi yg tergantung di langit,
Untuk semua impian yg tersimpan di bumi.
Sungguh,
ku tidak perlukan cahaya untuk menyampaikan hajatku,
ku tidak perlukan angin untuk mengepos rasaku.
kerana ku tahu,
dengan cuma lintasan hati,
DIA maha tahu.
Rindu.
Terlalu rindu.
Sehingga ku kini menjadi seorang perindu.
Allah...
Sudilah kiranya Engkau menerima kedatanganku?
Kerana ku terlalu ingin bertemuMu di sana
kerana ku terlalu ingin berteleku di hadapan rumahMu
kerana ku terlalu ingin memijak ke tanah suciMu
dengan sepenuh hati dan jiwa ragaku
Tuhanku,
ku sedari ku masih tidak sempurna mencintaiMu
tetapi hati tetap ingin setia padaMu
hingga hujung waktu....
Izinkan ya rabb...
Allahumma amin......
*Terus berdoa*




Semalam,
Allah khabarkan dari langit.

'Giliranku’ belum tiba lagi.
Belum sampai 'masaku’ lagi.

Terleku.
Membisu.

Hati sentiasa memujuk diri.
Daku harus sentiasa setia menanti.
Menanti huluran jemputan cinta dari Ilahi.

Setia kepadaNya hingga hujung nyawa, 
kerana matlamat hidup akan kembali semula padaNya...

*redhai sambil tertitis air mata*




Tuhanku,
Berikanku kekuatan yang berpanjangan.
Kurniakan padaku keyakinan yang sentiasa menyakinkan.
Anugerahkan padaku kesabaran yang tidak kehabisan.
Kerana kekuatanku,
Adalah kerana kekuatan dariMu.
Kerana kesabaranku,
Adalah kerana kesabaran dariMu.
Kerana keyakinanku,
Adalah keyakinan yang Engkau sandarkan untukku.

Kerana ku tidak punyai apa-apa
Selain cinta dan redhaMu itu yang ku damba
Di setiap hela nafas,
Di setiap air mata tangis,
Namun Engkau Maha Tahu...

~Cukuplah Engkau Untukku, Allah~


: hikmatul islam
: 130513
: 1027 pm

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...