27 November 2012

Ketika Takdir Berbisik: “Sudah Cukup Sudah…”





Bila mana diri dihujani deraian ujian tanpa henti, terkadang ku jadi lemas dengan emosi sendiri.

Duduk termenung panjang di situ.

Di balik hati.

Mencuba untuk merungkaikan kalimah hikmah di sebalik setiap kejadian, agar hati mampu meraih kunci sabar dan redha.

Sabar dan redha.

Sabar, mudah sahaja untuk diungkapkan dengan sepatah perkataan, tetapi tersirat seribu pengertian. Menagih seribu mujahadah dan pasrah.

Akal berfikir lagi, mungkinkah diri masih tidak cukup redha menerima segala ketentuanNya?

Tidak.! Hati kecil cuba untuk menafikan.

Meskipun hati kecil sejujurnya sedih, menangis pilu dan hiba, terluka dan terasa namun, hati itu cuba sedaya upaya dipesan agar sabar dan redha menerima segala ujianNya.

Akal menyoal lagi,

“Kenapa harus diuji dengan perkara yang sama??”

Pertanyaan itu seakan berdengung, berulang dan terus berulang, akal berusaha mencari rasional dan titik keseimbangan.

Menyoal seperti itu, bukan beerti hati memberontak dan membenci segala takdiran Ilahi, tidak sama sekali.

Apa jua persoalan yang cuba dilontarkan, jiwa sentiasa ingin berbaik-baik sangka denganNya, itu diletakkan di atas garisan yang pertama.

Cuma, soalan itu berdengung-dengung sendiri, cuba untuk merungkaikan persoalan dengan mencari sebuah erti jawapan.

Cuba untuk mencari hikmah yang tersembunyi di balik ujian yang sama mendatang.





Berat.

Bahu seakan memikul beban yang cukup berat, sehinggakan diri hampir terduduk.

Malah, rasa tiada daya lagi untuk bangun.

Lemah.

Longlai segala rasa di jiwa.

Menujahkan tekanan pada sebuah atma rasa.

Kadang juga menjadi buntu dan bingung, dek kerana terlalu ingin mencari apa makna di sebalik semua ini??

Lalu diri yang terduduk tadi cuba menyungkur sujud, kerana itulah sebaik-baik tempat kembali.

Menyembamkan muka padaNya, dengan titis jernih yang tidak putus-putus menemani.

Merintih-rintih sebuah jiwa, hati cuba berbisik bertanya kepada Ilahi.

Benarkah takdir berakhir seperti ini?

Diri sememangnya mencari.

Mencari sebuah jawapan kepada persoalan ujian yang menyakitkan.

Kerana inginkan maqam itu.

Maqam redha.

Bagaimana hati ingin benar-benar redha, andai persoalan itu masih terngiang-ngiang menyoalkan?

Perlahan-lahan hati dibasahkan dengan siraman zikir.

Agar fikir itu selari dengan zikir. Agar zikir itu mampu memimpin ke arah fikir yang positif dan rasional.

Jiwa itu, perlu dididik. Mesti.

Meskipun diri sudah berkali-kali mendidik.

Tetapi tidak penah sama didikan pada hati dan diri. Dua tempat yang berlainan.

Di hati  itu yang menguasai segalanya. Dialah raja bagi mengawal diri.

Tersangat ingin memiliki sekeping hati yang suci, bersih dari segala tohmahan dosa yang mengelilingi.

Sehinggalah...

Persoalan yang ditanya-tanya itu terjawab.

Kalimah agung itu menegur.


“Maha suci ALLAH yang menguasai (segala) kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.”
“Yang menciptakan mati dan hidup, supaya Dia (Allah) menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia (Allah) adalah al-‘Aziz (Maha Perkasa), lagi al-Ghafur (Maha Pengampun).”
(Terjemahan Surah Al-Mulk:1-2)


Subhanallah...

Bergetar jiwa tatkala mendengar kalimah cintaNya, sehingga hati basah dihujani rasa pada segenap jiwa..

Begitu berhikmah pula, DIA mengingatkanku melalui selitan pena dari seorang hambaNya.

“Innalillah wa inna ilahihi rajiun”

 Ertinya, “kami ini milik Allah, kepadaNya kami akan dikembalikan.”

“Ya, inilah kalimah yang mengingatkan bahawa kita ini milik Tuhan, Tuhan layak menguji kita dan kita layak diuji. Jangan sekali-kali menolak apalagi ‘mengamuk’ apabila diuji. Kita hanya hamba…”~Pahrol Mohd Juoi~


Allahu allah...

Siapa aku untuk memilih ujian?

Siapa aku?

Sedangkan aku cuma hamba, yang layak untuk diuji dengan pelbagai dimensi.

Hatta, dengan ujian yang sama, berulang kali pun.

Dua kali, tiga kali, sepuluh kali, malah berkali-kali, DIA layak menguji.!

Di situlah titik sebuah keikhlasan yang dicari.

Di situlah ingin mengajar sebuah maqam bernama ‘mardhatillah’, redha Ilahi...




“La haula wala quwwata illa billah.
Hasbunallahi wani’mal wakil, a’lallahi tawakkalna”


Tiada daya kekuatanku melainkan Allah...

Cukuplah Allah sebaik-baik tempat sandaran, bagi orang-orang beriman berserah dan bertawakkal...

Sudah cukup sudah.

Sudah cukup sudah, berfikir kenapa dan kenapa?

Kerana ia akan membuahkan ketidaksyukuran sebagai seorang hamba.

Sudah cukup sudah.

Mengenangkan peristiwa-peristiwa duka.

Kerana semuanya ada hikmah besar yang disembunyikanNya.

Sudah Cukup Sudah.

Sudah Cukup Sudah untuk semua yang berlalu.

Inginku terus berjalan mengikut aturan takdiranMu.

Sudah cukup Allah bersamaku.

Sentiasa setia menemani di sisiku.

Dalam luka, dalam parah, ingin ku terus bermujadahah.

Sungguh, ku mahu redhai, redha yang sebenar-benar redha pada tiap-tiap dugaan yang diberikan olehMu Tuhan...

Allah.

Tiada ku mohon, melainkan maghfirahMu... :’(


Tuhan,
Sudilah memandang diri ini
Hamba yang terduduk
Terjatuh
Tersembam teruk
Terluka parah
Pada tiap cubaan
Yang datang tanpa perhentian

Menangis
Hiba dan pilu
Sungguh, diri rasa tak termampu 
Namun tatkala mengenangkan rahmatMu
Hati diserbu rasa kasih yang semu
Pada cintaMu yang Satu

Rahim,
Berikanlah daku rahmatMu
Untuk temaniku dalam sepi
Tangkap aku dalam terangMu
Agar ku tidak kehilangan cahayaMu

Saat ini
Ingin ku meniti jalan
Mengikut jalan takdiranMu
kerana ku sentiasa ingin
yakini dan imani
pasti inilah yang ‘terbaik’ buatku…




p/s: Muhasabah dalam sujud cinta kepadaNya:


·         Ketika kita mengeluh “kenapa aku yang diuji, kenapa kenapa ?”
·         Allah menjawab: “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan, kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang orang yang sebelum mereka , maka sesungguhnya Allah mengetahui orang orang yang benar, dan sesungguhnya Dia mengetahui orang orang yang berdusta.” (surah al-Ankabut ayat 2-3).


·         “Kenapa mesti ujian ini untukku ?”
·         Allah menjawab: “boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu , padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (surah al-Baqarah ayat 216)


·         “Beratnya dugaan ini ya Allah, aku tidak sanggup menghadapinya!”
·         Allah menjawab: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (surah al-Baqarah ayat 286)


·         “Bagaimana untukku hadapi kesusahan ini?”
·         Allah menjawab: “Dan mintalah pertolongan kepada Allah dengan jalan sabar dan mengerjakan solat , dan sesungguhnya solat itu amat berat kecuali bagi orang orang yang khusyuk.” (surah al-Baqarah ayat 45)


·         “Ya Allah, sedihnya” :'(
·         Allah menjawab: “Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati , padahal kamulah orang orang yang paling tinggi darjatnya , jika kamu orang orang yang beriman.” (surah Ali Imran ayat 139)


·         “Sampai bila harus ku hadapi semua cubaan ini?”
·         Allah menjawab: “sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Dan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.”
(surah al-Insyirah ayat 5-6)


·         “Apa hikmah-Mu daripada semua ujian ini?”
·         Allah menjawab: “sesungguhnya mereka itu orang beriman yang jiwanya dibeli oleh Allah adalah orang orang yang bertaubat, rukuk, sujud, menyuruh berbuat makruf dan mencegah berbuat mungkar dan gembirakanlah mereka dengan memberikan syurga untuk mereka.” (surah at-Taubah ayat 111)


Allahuakbar... 

Alangkah beruntung bagi mereka yang diberi ujian, yang berkali-kali, itu tanda Allah terlalu sayang. 

Semoga kita sentiasa menjadi hambaNya yang sentiasa redha atas ujian dan ketentuan Allah, sabar dan syukur, itulah yang terbaik, sematkan dalam diri kita dengan kalimah,” La tahzan innAllaha ma'ana.!”




: hikmatul islam         
: 13 muharram 1434H
: 0130 am

23 November 2012

Palestin: “Mereka Terus Berjuang Di Sana, Apa Pula Jihad Kita Di Sini?”






Isu palestin.

Ramai yang bercakap mengenainya.

Di facebook, twitter, akhbar, berita melaporkan serangan demi serangan Yahudi ke atas bumi Gaza.

Bumi anbiya’, bumi barakah yang sangat dibenci oleh kaum kafirin.

Bernanah kebencian itu sejak berabad lamanya dahulu, yang telah lama bermusuhan bermula dengan para anbiya dan kebencian mereka tidak akan terhapus melainkan melihat Islam jatuh dan hancur.

Seakan sudah menjadi lumrah, bumi Gaza akan terus diserang. Tanpa henti.

Bumi itu akan sentiasa bermandikan air mata dan darah para syuhada’.

Setiap kali diserang, setiap kali itu jugalah kita akan beremosi marah, sedih dan mengutuk kekejaman yang dilakukan oleh puak Israel laknatullah.

Alhamdulillah, itu tandanya kita sebagai ummat Islam menunjukkan rasa cakno serta prihatin kepada saudara seislam dengan apa yang berlaku di Negara timur tengah itu.

Ada yang ingin hulurkan sumbangan wang, ada yang berdemonstrasi membantah serangan Israel, ada yang memboikot barangan Yahudi dan ada pula yang sanggup ke sana untuk misi bantuan kemanusiaan di Palestin. Subhanallah!

Suatu usaha yang cukup bagus dan terpuji. 

Semoga Allah mengira setiap amal tersebut, meskipun sedikit tetapi andai ianya ikhlas maka itu sudah cukup untuk melamar redhaNya.

Sesungguhnya Allah itu Maha Teliti lagi Maha Halus dalam setiap pengiraan amal hamba-hambaNya.

Namun, entry kali ini ingin saya lontarkan dari sisi sudut yang mungkin ada setengah dari kita terlepas pandang.




Di facebook, saya memerhatikan betapa status yang terpapar akhir-akhir ini penuh dengan gambar-gambar yang diuplode yang memperlihatkan kematian demi kematian para syuhada’.

Ada yang dibom sehingga berkecai badan, ada yang mati sambil wajahnya tenang dan tersenyum kerana dapat melihat syurga memanggil mereka yang syahid.

Ada pula yang menyeru dan merayu agar kita semua berdoa tanpa henti agar Allah menurunkan bala tentera menghancurkan puak Israel laknatullah itu.

Ada pula yang berdegar-degar bercakap tanpa henti akan isu Palestin, agar dapat mengingatkan kepada sahabat-sahabat yang lain agar turut cakno akan isu tersebut.

Alhamdulillah, sesungguhnya saya memuji itu semua adalah satu usaha yang sangat bagus kerana menunjukkan kesensitiviti kita sebagai umat Islam.

Walaupun kecil usaha tersebut, tetapi amat besar sumbanganya dalam membantu mereka yang berjuang di sana.

Teruskanlah usaha tersebut, tiada apa salahnya dan itu adalah usaha murni dari kita, yang lahir dari hati yang sangat kasih dan sayangkan sesama saudara seislam di sana.

Cuma, terkadang, kita lupa dari satu sudut yang lain.

Mereka di sana memang telah dilahirkan sebagai pejuang agamaNya.

Mereka yang terbunuh dan dizalimi, Allah sememangnya telah menyediakan ganjaran yang cukup indah buat mereka.

Tetapi kita di sini?

Pastilah ingin juga bergelar pejuang agamaNya.

Namun, apakah jihad kita di sini?

Kita telah menyampaikan dakwah di facebook misalnya, dan Allah menyaksikan usaha baik kita itu.

Tetapi, sayangnya, dalam kita ingin memperjuangkan seperti mana yang mereka di sana perjuangkan, ada satu sudut dari diri kita sendiri diabaikan.

Contohnya, kita menyampaikan perkara yang baik di facebook, ingin menyampaikan dakwah tetapi sehingga terlupa akan wajibat yang lain.

Ada yang tersasar waktu solat kerana terlalu asyik menghadap facebook. Bukankah solat di awal waktu itu jauh lebih afdal berbanding yang lain?

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Masud r.a katanya:
“Aku pernah bertanya Rasulullah s.a.w:
Apakah amalan yang paling utama? Baginda s.a.w. bersabda: Sembahyang pada waktunya. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda s.a.w. bersabda: Berbakti kepada kedua orang tua. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda s.a.w. bersabda: Berjuang pada jalan Allah.”





Ada pula yang setiap 10 minit akan sentiasa update status di facebooknya sehinggakan dia sebenarnya seakan telah ‘terlupa’ bahawa ada wajibat lain yang harus lebih diaulakan.

Apa wajibat lain yang patut lebih diutamakan itu?

Itulah, ibadah kita sebagai muslim.

Saya paparkan contoh-contohnya;

·         Berapa kali dalam sehari kita membaca al-Quran? Satu helai atau satu juzuk?

·         Sudah khatam atau tidak membaca tafsiran (terjemahan) al-Quran? Dan menghayati maksud dan erti setiap ayatNya?

·         Berapa lama masa kita peruntukkan masa untuk membaca buku-buku ilmiah?

·         Berapa ratus zikrullah yang dapat kita bertasbih setiap hari?

·         Berapa lama masa yang kita luangkan bersama dengan sahabat-sabahat untuk berusrah atau bermesra dengan family kita sendiri?

·         Adakah solat sunat- tahajud, taubat, witir, dhuha terjaga setiap hari?


Namun, sayangnya, ramai yang mengabaikan posisi ini.

Sehingga masa habis begitu sahaja.

Katakanlah: “Apakah akan Kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling merugi perbuatannya. Iaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahwa mereka berbuat sebaik-baiknya.”
(QS. 18:103-104: terjemahan surah Al-Kahfi)



Allahu allah...

Semoga kita bukan dalam golongan ini...

Saya teringatkan cerita akan perihal seorang sahabat saya yang suka berfacebook. Setiap hari, pasti dia akan update status di fb. Dengan kata-kata hikmah untuk menyebarkan dakwah. 

Itu sememangnya saya amat puji usaha dakwahnya, tetapi sayang tatkala dia meluangkan masa yang sedikit untuk menghafaz al-Quran. Sehinggakan, tasmiq dan syafawi tidak sempat dihabiskan. 

Bukankah itu sudah menjadi kerugian? Terabai tanggungjawab sebagai tolib.

Sebetulnya, berdakwah memang wajib, tetapi ibadah juga wajib dijaga.

Jika mereka di sana mengangkat senjata untuk berperang,

Maka kita di sini angkatlah senjata kepada hawa nafsu untuk memerangi nafsu syahwat kepada dunia yang banyak menipu daya, yang melekakan dan melalaikan kita dari mengingati Allah.

“Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui.”
 (terjemahan surah Al-Ankabut 64).


Ketahuilah, syaitan amat licik sekali menipu daya manusia dalam pelbagai dimensi. Hatta dalam kita ingin berbuat kebaikan pun, syaitan begitu pandai menggoyahkan keikhlasan di dalam hati.

Dia (iblis) berkata: "Demi kemuliaan Engkau (Allah), sungguh aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba-hamba-Mu (hamba-hamba Allah) yang ikhlas (dipersucikan) antara mereka.”
(terjemahan surah Sad:82-83)



Sesungguhnya..

Saya tidak ingin melemparkan semua tohmahan itu kepada orang lain, kecuali diri saya sendiri yang pertamanya.

Saya, diri saya ini yang banyak terleka dan terlalai.

Diri saya, yang pernah tertipu dengan kelicikan syaitan itu...

Semoga dengan tulisan yang tertinta ini, tatkala setiap kali saya bacanya berulang-ulang, Allah mahu saya dulu yang ingat dan bermuhasabah..

Dan, jika semua ciri itu tiada pada diri kalian, maka saya yakini, kalian sememangnya layak untuk bergelar seorang pejuang.

Seorang pejuang yang benar-benar ingin menegakkan agamaNya.

Insya allah, mari kita terus berjuang.!

“Tegakkan Islam di dalam diri kamu, nescaya Islam akan tertegak di bumimu”
( As-syahid Imam Hassan Al- Banna)

Sekadar ingin berkongsi sebuah pandangan.

Diharapkan dapat memuhasabahkan diri bagi orang-orang yang ingin mengambil pelajaran. . .

Sekian, wallahua’lam.




: hikmatul islam         
: 10 muharram 1434H
: 24112012
: 1230 am

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...