17 February 2013

“Impian Itu Bintang”




“Di sini ku terduduk sepi
Menghitung kembali segala yang terjadi
Masa yang berlalu biarkan ia bergulir pergi
Kerana ia sudah tinggal kenangan
Yang menjadi tatapan masa silam…


Kini, ku melihat jauh di awangan
Melihat indahnya cahaya bintang
Bersinar terang di balik bulan
Ingin ku gapai meskipun dalam gelap malam
Kerana impian itu adalah harapan
Dan harapan itu akan mekar
Dalam pengharapan kepada Tuhan”






Alhamdulillah.

Bersyukur pada Yang Maha Agung, yang telah banyak mengatur perjalanan saya dalam pengaturanNya yang terbaik.

Terbaik buat diri saya, insan yang sangat doif dan lemah, kerana Allah tahu itulah yang TERBAIK buat diri saya.

Muhasabah amal hati.

Meneliti semula lembaran diari yang berlalu.

Di saat saya telah jatuh ‘down’ yang sampai tahap kritikal, Allah ‘tarik’ semula tangan saya untuk berdiri.

Allah berikan kekuatan yang luar biasa.

Allah berikan ketabahan yang tiada tara.

Di saat saya terduduk hampa dan kecewa, Allah berikan semula harapan dan impian.

Tatkala saya menangis tersendu-sendu, Allah telah memujuk saya dengan kalamNya.

Dengan janjiNya yang benar lagi indah.

Di saat saya terasa sudah tidak mampu lagi bernafas panjang, Allah anugerahkan semula nafas yang baru.

Ya, nafas baru. Nafas yang lebih indah, nyaman dan buat saya lebih bersemangat untuk menempuh hidup ini.

Allahu Allah.

Subhanallah.!

Maha Suci AgungMu Rabbi.

Tiada tara nikmatNya.

Tidak mampu untuk dihitung, dengan apapun…





Beberapa purnama yang berlalu ini, bagi saya terlalu banyak hal yang terjadi.

Benda yang kadang saya sendiri tidak menyangkanya.

Allah ‘mengambil’ dan ‘memberi’ tanpa jangkaan.

Benarlah akan firman-Nya yang selalu kita baca dalam surah Yassin;

“Sesungguhnya urusan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu Dia hanya berkata kepadanya, ‘Jadilah!’ Maka jadilah sesuatu itu.” (ayat 82)


Andai Allah berkata ‘Tidak’, maka tiada siapapun yang bisa berkata ‘Ya’. Tiada siapapun yang bisa untuk memberikan, membenarkan.

Kerana hanya Allah yang bisa menetapkan sesuatu perkiraan itu hanya menurut perkiraan Allah, bukan hitungan manusia.

Maka, saya ingin berjalan dalam takdiran-Nya, selepas apa yang saya usahakan mengikut apa yang terdaya…




Seputar kisah ke Bengkel Penulisan Islamik bersama Hilal Asyraf.

Alhamdulillah, tanpa saya sangka-sangka, Allah ‘suruh’ saya mengikuti ke bengkel penulisan ini pada tarikh 02022013, hari Sabtu yang melakar memori terindah buat saya.

Hal yang selama ini saya idam-idamkan.

Sudah lama mencari-cari penunjuk aras dalam penulisan saya dalam usaha menyiapkan novel islamik yang sekian lama tersadai dan tersimpan dalam folder.

Sudah hampir 2 tahun lamanya. Tergantung tinta itu dek kerana saya hilang idea dan tidak tahu cara bagaimana untuk menyudahkannya menjadi sebuah novel lengkap.

Justeru, dengan bengkel ini telah membuatkan minda saya menjadi fokus, lebih jelas dalam bidang penulisan sekaligus lebih bersemangat untuk berkarya.

Di sini, ingin saya berkongsi apa adanya bersama teman-teman semua. Yang mungkin ada di kalangan sahabat yang turut mempunyai minat yang sama dengan saya.

Satu impian melakar cita-cita untuk menjadi penulis islamik! :’)








Penulisan islamik.

Menulis kalimah yang membawa misi yang cukup besar.

Misi untuk menegakkan kalimah Allah.

Misi untuk meninggikan deen Allah.

Misi untuk mengislahkan manusia.

Menyeru kepada kebaikan, menegah kepada kemungkaran.

Misi untuk membawa manusia kembali kepada Tuhan.

Betapa besarnya misi ini bukan?

Bukan semudah-mudah kalam.

Tetapi itulah misi sebenar pada penulisan islamik.

Bukan sekadar omongan kosong yang tiada kesan.

Bukan sekadar catatan yang tidak diamalkan.

Bukan sekadar orang membaca tetapi tiada apa-apa peringatan.

Tetapi tinta yang membawa kebaikan pada seluruh alam.

Dasarnya harus kukuh. Harus ampuh.

Semuanya perlu bermula dengan niat.


“Sesungguhnya setiap amal itu bermula dengan niat. Dan, bagi setiap orang adalah atas apa yang diniatkannya.” (Hadis Sohih)


Pasakkan kukuh-kukuh, niat untuk menulis kerana Allah.

Ya, kerana ingin meraih redha Allah.

Andai yang ditulis itu hanya cuma dapat mengundang kemurkaan Allah, apa gunanya?

Kerana itu yang akan membezakan sang daie yang berjuang mengangkat kalam Allah, dengan penulis biasa yang lain.

Yang ada sesetengah penulisnya cuma inginkan keuntungan dan kenikmatan duniawi.

Andai niat itu sudah jernih dan jelas, maka mulakanlah langkah tinta dengan basmalah.






‘Saham Akhirat.’

‘Saham Akhirat.’

‘Saham Akhirat.’

Ya. Kerana penulisan yang baik dan bermanfaat itu saham akhirat.

Saham akhirat yang tidak ternilai nilaiannya.

Penulisan yang ‘berjaya’ membawa insan berubah, semakin meningkatkan amalannya, maka kita turut mendapat pahalanya.



"Siapa yang mengajak kebaikan, maka baginya pahala seperti pahala orang yang mengikutinya tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun, dan siapa yang mengajak kesesatan, maka baginya dosa seperti dosa yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa mereka sedikitpun."
(HR. Muslim no. 2674)



Subhanallah. Sangat beerti bukan?

Tidakkah kalian juga turut ingin ‘mengangkat senjata pedang mata pena’ ini?


“Jika hati sudah ikhlas, maka diri tidak akan merasa jemu, bosan, penat atau letih. Juga tidak peduli berapa ramai orang yang ‘like’, ‘follow’, atau berapa ramai yang kutuk dan kritik? Sebab kita menulis kerana Allah, bukan kerana manusia.”


Kalian, yang juga saban waktu ‘mengupdate’ status di fb, walaupun tidak punyai blog atau twitter yang khusus, tetapi ‘status’ yang kalian perbaharui hari-hari itu moga-moga ia adalah tinta yang bermanfaat dan berhikmah.

Setiap patah dan kalam yang kita tulis pasti akan dipertanggungjawabkan. Adakah ia untuk kepentingan ummah atau hanya untuk kesukaan diri semata-mata?

Mari kita sama-sama bermuhasabah. Menghitung amalan yang cuma secebis. Kerana dengan amalan yang secebis itu sahaja yang ada untuk kita bawa di akhirat nanti. 

Untuk kita tukar dengan maharnya syurgawi. Insha Allah. Semoga Allah redha kepada kita.

Dan, semoga impian saya ingin menjadi penulis Islamik suatu hari nanti dimakbulkan Tuhan. Seindah mimpi yang sudah lama disimpan... Hajat doa dari kalian. Amin ya Rabb.! =)


Bintang.

Akan ku gapai dikau,


biarpun jauh dariku


kerana ku dapat rasai


betapa indahnya kerlipan cahayamu.

~ Ingin berlari mengejar 'bintang', 
semoga ia bersinar terang benderang ~



"Impian seperti bintang, bukan?" :')








Perkongsian tips penulisan dari Bengkel Penulisan Islamik 2013 bersama Hilal Asyraf:


[Tips Penulisan] # 1

Ingat formula (Penulis -> Allah -> Pembaca)
Maka penulis perlu menjaga hubungan dengan Allah, kerana Allah lah yang akan menghubungkan penulis dengan pembaca, selain sentiasa perlu berusaha memperkasakan teknik penulisannya.


[Tips Penulisan] # 2

Memahami apa yang hendak ditulis,
bermulanya bagaimana,
akhirnya bagaimana,
barulah kita akan mudah untuk membina penceritaan di tengah-tengahnya.


[Tips Penulisan] # 3

Penulis yang mempunyai idea, namun masih tidak mampu menulis adalah kerana dia tidak punya teknik untuk menyusun ideanya. 


Maka saya telah mencipta sebuah teknik dipanggil "Teknik Graf Penceritaan" yang menggunakan Prolog, Konflik, Klimaks, Penyelesaian, Epilog, dengan cara yang lebih bersistematik.

Seluruh cerita digambarkan sebagai sebuah graf yang besar, dibahagikan mengikut prolog, konflik-konflik, klimaks, penyelesaian, epilog, kemudian graf yang besar itu dipecahkan mengikut bab.

Selepas itu, penulis perlu mengisi plot-plotnya mengikut pecahan yang telah dibuat. Inilah rahsia saya dalam menghasilkan 20 buah karya, dalam masa 4 tahun. Menulis karya bukan susah buat saya, kerana mempunyai teknik ini.

PENTING!
Perlu dibuat dengan penuh sabar dan jangan terburu-buru mengisi plot. Buat satu persatu dari awal.


[Tips Penulisan] # 4


Perancangan adalah apa yang amat penting jika kita serius hendak menjadi seorang pengkarya yang berjaya.

Letakkan target bila anda hendak menyiapkan karya anda.

Katakan anda hendak menyiapkan karya anda Pada 31hb Mei 2013, dan hendak mula menulis pada 1hb Februari 2013. Maka anda mempunyai sekitar 120 hari untuk menyiapkan karya anda.

Target berapa banyak bab yang akan wujud dalam karya anda. Katakan anda target 30 bab. Maka pastikan dalam 4 hari, sudah siap satu bab.

Target pula satu bab sekitar berapa mukasurat yang perlu ada. Katakan anda target 10 mukasurat untuk satu bab. Maka satu hari, anda perlu menulis sekurang-kurangnya 3 muka surat + 1 hari rehat untuk check semula bab yang telah siap ditulis.

Di sini, barulah anda mula mencari bila masanya anda hendak menulis. Berapa lamakah yang anda perlukan untuk menulis 3 muka surat cerita? Sejam? Dua jam? Tiga jam? Ikut keselesaan anda. Pilih waktu yang sesuai dalam sehari, dan jadualkan penulisan anda sebaiknya.

PENTING!
Jangan cari idea di hadapan komputer, kala jadual anda sepatutnya menulis. JANGAN. Sila cari idea di luar jadual menulis. Ketika anda berjalan, membaca surat khabar, memasak, memandu, berbual dengan rakan, makan, minum, hatta ketika anda sedang menunaikan 'hajat'.


*credit penghargaan buat sahabat yang ku kasihi kerana Allah, Farhana Imtiyaz kerana telah sudi membawa saya ke Bengkel ini..syukran kathira ya ukhti.! ^_^ 



~Sharing is caring lillah~ :)


: hikmatul islam         
: 02022013
: 0330 pm 

09 February 2013

'Pengemis Cinta'






(Surat seorang Pengemis Cinta…)

Bismillahirrahmanirrahim...

"Bagiku, Dialah segala-galanya buatku.

Aku tidak malu untuk mengemis cinta darinya.

Aku tidak sesekali berasa segan untuk berbuat demikian.

Meskipun, mungkin akan ada yang berkata kepadaku, ‘Heh, terhegeh-hegeh si pengemis ini meminta.!’

Aku tidak peduli.

Aku tidak hiraukan semua mata manusia yang memandang.

‘Pengemis gila’, ‘Pengemis hina’.

Biarlah mereka mengecop aku seperti apapun.

Kerana aku memang seorang pengemis.

Pengemis yang sentiasa menagih.

Menagih cinta darinya.

Kerana memang aku ingin sekali memiliki cintanya.

Kerana memang aku begitu teruja untuk sentiasa dekat dengannya.

Dialah yang selama ini sering membuatkan aku gembira.

Dialah yang selama ini sering membuatkan aku bahagia.

Tatkala aku sedih, Dia yang pujuk.

Dengan kalamnya yang cukup indah, dengan janjinya yang cukup romantis.

Tatkala aku lemah, Dia sentiasa ada di sisi menguatkan aku.

Tatkala aku sudah berputus asa, Dia memberikanku jalan keluar dan harapan.

Dengan janji-janjinya yang benar, tiada satu pun yang dusta.

Dia tidak pernah menjauh dariku, tatkala semua manusia menjauh dariku.

Dia tidak pernah sesekali menghina aku meskipun aku sang pengemis.

Malah, Dia senang sekali dengan perwatakanku sebagai si pengemis.

Dia malah, semakin sayang padaku tatkala aku terhegeh-hegeh mengemis cinta darinya.

Dia malahan semakin cinta padaku tatkala aku melafazkan kata-kata cinta kepadanya.

Dia juga semakin kasih padaku tatkala aku cuma ingin setia mengemis kasih darinya.

Oh, indahnya hidupku tatkala aku mendapat cinta dan perhatian sepenuhnya dari Dia!

Terasa dunia ini aku yang punya.

Biarpun aku cuma seorang pengemis, sungguh aku bahagia. Damai dan tenang sekali hatiku.

Ada kalian miliki rasa seperti itu?






Tiada cinta yang lebih asyik dan mendalam, selain cinta yang aku puja ini.

Sebab itulah, aku ingin terus mengemis cintanya.

Kerana Dia tidak pernah jemu dan bosan tatkala aku meminta darinya.

Dia tidak pula memarahi aku.

Dia malah menunjukkan kepadaku mahligai kasih yang tersergam indah yang dibina khas buatku.

Oh, kekasih hatiku…

Cintaku tidak sehebat cintamu padaku.

Biarpun aku terus mengemis dan mengemis cintamu, tetap sahaja cintamu terus membunga mekar untukku.

Semakin indah, lebih indah dari apa yang ada di dunia ini.

Tetapi, kenapa tidak semua orang ingin menjadi pengemis sepertiku?

Kenapa tidak semua orang ingin berebut mendapatkan cinta darinya?

Mungkin, kerana mereka belum dapat rasai apa yang aku rasa.

Mungkin mereka masih belum sampai puncak ‘kemanisan iman’.

Ya. Mungkin saja mereka bongkak dan angkuh untuk mengemis cinta darinya.

Ah, alangkah ruginya mereka.!

Rugi besar.

Mereka fikir, dengan adanya harta yang banyak, emas yang menimbun boleh membuatkan mereka bahagia?

Mereka fikir, dengan pangkat dan nama, mereka dapat membeli cinta dengan sewenangnya?

Mereka sudah silap!

Mereka fikir, pengemis seperti aku langsung tidak berguna?

Biarlah.

Biarkan mereka dengan angan-angan palsu mereka.

Aku hanya ingin menyampaikan.

Aku cuma ingin menceritakan betapa indahnya menjadi pengemis cinta.

Aku akan terus mengajak dan menyeru manusia tanpa jemu, untuk turut sama-sama menjadi pengemis sepertiku.

Pengemis cinta yang satu.

Mengemis dengan setia.

Kerana aku sedari, aku insan fakir lagi hina.

Yang aku rasakan title ‘pengemis’ itu lebih sesuai untuk aku di sisinya.

Memang benar sekali, aku tidak punyai apa-apa.

Aku tiada pangkat mahupun harta. Yang aku punya hanya ini.

Sekeping hati yang tidak akan pernah berhenti meminta.

Menagih dan terus menagih cinta darinya.

Semoga kerjaku sebagai ‘pengemis cinta’ ini akan terus ku pinta dalam sujud dan doa.

Dalam setiap saat dan ketika.

Moga hingga hujung nyawa nanti, akan ku benar-benar miliki cintanya yang hakiki dan abadi…

(Dariku: ‘Pengemis Cinta Allah yang setia’)


p/s: Cinta-Nya yang terindah, sesungguhnya tiada yang lebih indah dari memiliki cinta Ilahi. Usah malu untuk mengemis cinta Allah setiap saat kerana kita cuma insan fakir yang akan kembali semula kepada-Nya kelak. Semoga kembali nanti, dalam keadaan Allah cinta, Allah redha..amin =)




: hikmatul islam         
: 08022013
: 1110 pm 

06 February 2013

Saat Allah Berbicara







“Saat Allah berbicara,

Ku jadi terpempan seketika.

Saat Allah sedang berbicara,

Seluruh jiwa rasa tergoncang.

Saat Allah lagi berbicara,

Terasa bisikan-Nya teramat dekat.

Terlalu dekat,

Buat hati-hati yang ingin mendengari bicaraNya..


Ini bukan bicara dongeng

Ini bukan bicara ahli falsafah

Ini bukan bicara sang penyihir

Tetapi ini adalah bicara Sang Maha Agung

Tiada tara.

Mahukah kalian mendengari-Nya?”


Bismillahirrahmanirrahim..

“Mahasuci Allah yang menguasai (segala) kerajaan, Dan Dia Mahakuasa atas segala sesuatu. Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun.” (Al-Mulk:1-2)






Alhamdulillah.

Alhamdulillah.

Alhamdulillah.

Ucapan hamdalah ini ingin sentiasa ku tuturi.

Sentiasa.

Setiap saat dan waktu.

Setiap tika yang bergulir.

Dalam keadaan apapun.

Dalam situasi apapun.

Apapun?

Ya, dalam apapun.

Andai sedih, adakah mungkin untuk dituturkan hamdalah?

Tidak mungkin!

Kenapa tidak?

Adakah cuma tika mendapat nikmat semata-mata baru diri ingin bersyukur?

Tidak.

Jika itu yang dalam hitungan, maka hitungan itu silap.

Perkiraan itu tersasar.

Lumrah manusia, saat diuji mengeluh, kecewa, hampa.

Jarang sekali mahu melafazkan hamdalah.

Mahu bersyukur saat diuji?

Ah, mana bisa!

Itulah ungkapan hati, yang sukar untuk bersabar, apatah lagi untuk mengucapkan syukur saat diuji.

Selagi mana hati dan bibir berkeluh kesah, tidak mungkin kita akan menjadi orang yang bersyukur.


"Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir."  (Surah Al-Maarij:19)


Andai begitu, benarlah sekali akan alunan kalam-Nya, kebanyakan dari kita memang sedikit sekali untuk bersyukur.


“Tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.” (Surah Yusuf:38)






Justeru itu, bagaimana untuk menjadi manusia yang bersyukur saat diuji?

Teruslah memuji dan memuja-Nya, teruslah meminta lautan kekuatan dan kesabaran dari Allah tatkala diuji. 

Pintalah semoga dengan ujian itu akan membuatkan kita menjadi manusia yang semakin dekat dengan Allah, semakin dinaikkan 'darjat' dan 'martabat' di sisi-Nya.

Teruslah istiqamah dengan kebaikan, teruslah berbuat amal meskipun musibah melanda. 

Kerana ramai orang berbuat kesilapan yang cukup besar apabila diuji, mereka langsung lemah dan menjauh dari Allah. 

Mereka semakin tidak berbuat amal dan langsung meninggalkannya. Bukankah itu tanda hamba-Nya yang tidak bersyukur? 

Hanya seronok tika mendapat nikmat, tetapi tidak suka dengan ujian yang Allah berikan kepada dirinya.

Aduhai diri.! Jangan begitu...Alunkan zikrullah kepada DIA yang Maha Mendengar, hatimu menjadi tenang damai dan pasti akan diberikan ganjaran pahala yang berganda-ganda. 

Dengan demikian, insya Allah kita akan memperoleh tambahan nikmat dari-Nya. 


Al-Qur’an menerangkan,"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, niscaya Aku akan menambah nikmat kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku),maka pasti azab-Ku sangat berat.”(QS.ibrahim [14]: 7)





“Orang yang memandang masalah sebagai masalah, maka dia akan sentiasa hidup bermasalah. 
Akan tetapi, orang yang memandang masalah sebagai ujian hidup, 
maka dia akan sentiasa mencari jalan untuk menyelesaikan masalah.”



Hidup bukan namanya ‘hidup’ andai kehidupan ini tidak dikelilingi oleh masalah.

Semua orang pasti akan berhadapan dengan masalah, sekecil mana dan sebesar apapun.

Kerana sudah menjadi lumrah, kerana sudah menjadi adatnya hidup di dunia.

Kita harus sedar akan hakikat itu, kita bukan hidup di syurga kerana di sini cuma tempat persinggahan yang sementara untuk menuju ke alam abadi kelak.

Kerana di sini namanya dunia, maka ia adalah suatu medan ujian yang menuntut seribu macam pengorbanan, keikhlasan dalam perjalanan panjang menuju Tuhan.


“Mahasuci Allah yang menguasai (segala) kerajaan, Dan Dia Mahakuasa atas segala sesuatu. Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun.” (Al-Mulk:1-2)


Dengarilah ini, bicara Yang Maha Esa kepada manusia.

Tidak perlu kepada bicara yang panjang, tetapi cukuplah dengan cuma dua ayat agung-Nya.

Bila Allah lagi berbicara, telitilah dan amatilah sehingga ia terkesan di sanubari.

Sesungguhnya, pada setiap ujian yang ditimpakan sebenarnya Allah ingin melihat pada setiap amalan hambanya berada pada tahap yang mana?

Adakah kita...

Sabar, tetapi masih mengeluh?

Sabar, tetapi sukar untuk bersyukur menerima ujian itu seadanya?

Sabar, tetapi jiwa masih ragu-ragu akan nusrah Allah?

Semuanya terpulang pada kita.

Hanya kita yang mampu menilai tahap ukuran hati kita sendiri, dan Allah Maha tahu apa yang tersirat di balik setiap hati hambaNya.


"Bahawa besarnya sesuatu balasan itu menurut besarnya sesuatu bencana ujian;
dan bahawa Allah apabila mengasihi sesuatu kaum lalu diuji mereka; kemudian sesiapa yang menerima ujian itu dengan redha, maka dia akan beroleh keredhaan Allah,
dan sesiapa yang bersikap keluh kesah serta benci menerima ujian itu, maka dia akan mendapat kemurkaan dari Allah."
(Hadis riwayat at-Tarmizi dan Ibn Majah)






Bila saat diri bersedih, biasanya orang akan pujuk dan kata,

"La tahzan, pasti ada hikmahNya."

Tetapi, ada yang ragu-ragu dan bertanya,

"Mana hikmah-Nya, mana hikmah-Nya?"



Duhai insan...

Hikmah Allah itu tersembunyi.

Tatkala diri diuji, kita memang tidak akan nampak hikmahNya.


Masa itu kita cuma nampak 'kulit luaran' yang keras, yang buruk.


Dan, 'isian dalaman' yang cantik, yang indah di dalamnya itu memang kita tidak akan nampak secara zahir kerana Allah sembunyikan.

"Jadi, macam mana nak nampak hikmah di balik ujianNya?"


Jawapannya, bukan sekarang.

Kelak, selepas kita bersabar dan terus bergantung pada tali Allah, maka nanti akan Allah singkapkan HIKMAH TERINDAH itu.

Ya, sekarang mungkin Allah hanya tunjukkan 1 hikmah dibalik ujian tersebut, tetapi 99 hikmah lagi tersembunyi dalam khazanah rahsia-Nya.

Tersembunyi di sana, di sisi Dia Yang Maha Bijaksana.

Jika tidak disingkapkan hikmah itu di dunia, pasti di syurga.

Tinggal sahaja antara iman ingin menyakininya atau tidak?


“Bila Allah cepat memakbulkan doamu, maka Dia menyayangimu..

 Bila Dia lambat memakbulkan doamu..maka Dia merancang sesuatu yang lebih baik untukmu..

Oleh itu sentiasalah bersangka baik pada Allah dalam apa jua keadaan kerana kasih sayang Allah mendahului kemurkaanNya..”







Bilamana diri mengungkapkan cinta kepada Pencipta, benar-benarkah diri mencintaiNya?

Cinta kepadaNya, bukan seperti kita cintakan manusia.

Ia suatu dimensi yang sangat berbeza.

Harus fahami dan mengerti.

Manusia, bila dia sayangkan seseorang, dia akan berusaha memberikan yang terbaik buat kekasih hatinya.

Akan berusaha membuatkan orang tersayang tersenyum, bahagia. Tidak akan sesekali ingin membuatnya sedih mahupun berduka.

Tetapi, cinta Allah berbeza.

Allah tidak mengungkapkan sedemikian pada manusia.

Tatkala seseorang hamba itu sudah menjadi ‘istimewa’ di mata Allah, Allah menyayangi dirinya lalu ingin diangkat darjatnya menjadi tinggi di sisi Ilahi. 

Maka, DIA terkadang memberikan kesusahan, kesakitan dan keperitan.

Kenapa sedemikian rupa?

Kerana cinta Allah terlalu halus, terlalu berseni untuk ditafsirkan dengan kalam dan perkataan.

Allah memberikan sakit, untuk menjadikannya kuat dan tabah.

Allah memberikan duka, untuk hamba itu terus meminta hanya kepada yang Esa.

Allah berikan air mata, untuk hamba itu menangis dan merintih cuma 
kepada Pencinta yang Setia.

Kerana kasih sayang dan cinta Allah itu sangat luas, sangat besar nilaiannya untuk ditukar dengan mahar syurga...



"Berlumba-lumbalah kamu kepada (mendapatkan) ampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-rasul-Nya. Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar." (Surah Al-Hadid; 21)







Tinta kalam ini tidak ingin hamba akhiri di sini, masih ada banyak lagi yang ingin hamba kongsikan bicara-Mu Tuhan kepada semua insan.

Insha-allah, akan ku tinta lagi di masa hadapan.

Harapanku, dengan cebisan bicara ini semoga akan ada jiwa yang Engkau ‘sentuh’ hatinya untuk kembali bermuhasabah dan meneliti semula mutaba’ah amalnya.

Semoga, diri sendiri yang terutama memperingati dan mengamalkannya.

Semoga, kalian dapat mendengari bicara Tuhan yang amat dekat...terlalu dekat...buat sekeping hati ‘hamba’ yang mencintai Tuhannya...


Mendekatlah.

Kerana Allah tidak pernah menjauh darimu.

Andai sedih, dekatilah DIA.

Andai duka, rapatilah DIA.

Andai hiba, beritahulah kepadaNya.

Insha Allah.

Pasti akan datang 'nusrah' Allah.

Cepat atau lambat,

bukan itu persoalannya.

Akan tetapi,

sedaya mana kita merapati dan meminta padaNya...

~Keep close to Him, everyday, everysecond~ :')





: hikmatul islam         
: 06022013
: 1110 pm 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...